Apabila saya mula meningkat remaja, orang selalu kata kawan saya handsome.
Semua guru sukakan dia dan ramai wanita yang ingin berkenalan dengannya. Kadang-kadang mereka berkawan dengan saya semata-mata ingin mendekati kawan saya. Saya berbeza dengan kawan-kawan saya, saya tidak pernah mendapat pujian seperti mereka. Saya selalu mendengar kata-kata seolah-olah membandingkan saya dengan kawan saya.
Saya kurus, berkulit cerah+gelap(normal), berjerawat dan tinggi. Saya juga seorang yang agak manja dan mudah kecil hati. Sejak dari kecil, kehidupan saya lebih rapat dengan kakak saya berbanding dengan ayah saya, oleh sebab itu saya membesar menjadi seorang lelaki yang agak manja dan mudah tersentuh.
Saya membesar dengan pelbagai kritikan. Saya teringin untuk menjadi kacak seperti mereka, tetapi mustahil untuk saya menjadi kacak seperti mereka walaupun saya berstyle. Kekacakkan mereka merupakan kurniaan Illahi, dan saya tidak dikurniakan memiliki kekacakkan seperti itu. Namun saya redha dengan apa yang Allah beri pada saya. Ustaz saya cakap kacak itu hanya subjektif. Ada orang yang nampak kacak di mata semua orang, dan ada orang yang nampak kacak di mata sesetengah orang sahaja. Saya mengaku, kata-kata ustaz itu ada benarnya.
Jadi, saya tidak lagi mencuba untuk nampak kacak di mata sesiapa. Kerana saya tahu saya tidak mampu untuk kelihatan kacak seperti mereka.
Saya telah berjaya buktikannya. Kecantikan luaran saya tidak mampu ubah, tetapi kecantikan peribadi masih boleh saya miliki Kecantikan akhlak, budi bahasa membuatkan saya juga memiliki ramai kawan dan guru-guru juga turut menyukai saya.
Saya sentiasa berusaha untuk menjaga akhlak saya dengan kawan-kawan dan dengan guru. Walaupun kadang-kadang saya terkurangajar. Saya sentiasa mencuba untuk membuat baik dan membantu mereka. Alhamdulillah, saya mampu buktikan saya juga berjaya memiliki kecantikan dalaman walaupun saya tidak dikurniakan kecantikan paras rupa seperti mereka.
Perkara tu sangat susah untuk saya lakukan kerana pada asalnya, saya bukanlah begitu. Pada mulanya saya seorang lelaki yang sombong dan berperangai buruk. Saya tahu saya tidak boleh ubah rupa paras saya, tapi saya boleh ubah perangai dan akhlak saya. Biarlah rupa paras tidak kacak, asalkan peribadi dan akhlak saya "kacak".
Saya mengaku, saya memang tidak boleh ubah diri saya jadi baik seperti sesetengah orang. Mereka memang begitu ukurannya, dan saya memang begini ukurannya. Namun saya telah mencuba sedaya upaya untuk memiliki sifat-sifat baik yang perlu dimiliki oleh lelaki muslim. Bukan untuk memiliki ciri-ciri seperti kawan-kawan saya, tetapi membentuk ciri-ciri saya sendiri yang Allah pendamkan dalam jiwa saya berdasarkan yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah saw.....
Saya terdidik dengan kritikan dan hati saya sedikit sebanyak telah terguris walaupun pada dasarnya tidak pernah kelihatan. Namun ia telah membentuk peribadi yang lebih keras dan tegas supaya saya mampu mengharunginya. Saya telah berusaha untuk menjadi yang terbaik, namun masih ada lagi kata-kata yang terkeluar daripada mulut-mulut yang tidak sedar dengan pemberian Allah yang mampu mengguris perasaan saya.
Masih ramai lagi orang yang selalu membanding-bandingkan saya dengan kawan-kawan saya dengan kecantikan luaran. Malah mereka selalu persoalkan kenapa paras rupa saya tidak seperti kawan-kawan saya tanpa rasa bersalah. Saya betul-betul terguris dengan kata-kata seperti itu walaupun saya tidak pernah menzahirkannya. Hanyalah Allah yang memahami perasaan saya.
Walaupun hati saya banyak terguris dengan kata-kata mereka, namun saya bertekad dan ingin membuktikan bahawa kecantikan bukan penentu kebahagiaan, yang penting adalah dengan ilmu yang saya miliki dan cara saya membawa diri. Saya pun menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh kerana saya selalu dengar, tidak guna cantik andai tidak berilmu. Saya ingin menjadi seorang yang berilmu.
Kekurangan saya, saya jadikan perangsang untuk berjaya. Saya berjaya kerana saya berusaha, bukan kerana paras rupa saya. Biarlah saya menang kerana memiliki ilmu bukan kerana memiliki kecantikan. Setiap orang memiliki kelebihan masing-masing, dan kelebihan tersebut perlu dicari dalam diri sendiri.
Baru kini saya sedar, walaupun Allah tidak kurniakan saya kelebihan dari segi paras rupa, namun Allah telah memberi saya banyak kelebihan yang tidak semua orang miliki.
Saya memiliki kemahiran melukis dengan baik, boleh mencipta dan mengubah lagu, serta Allah juga mengurniakan saya pemikiran yang kreatif.
Saya berjaya buktikan kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. "Apa yang penting, kenali kecantikan semulajadi diri sendiri dan lakukan yang terbaik untuk menjaganya. Jika mengharapkan sesuatu yang Allah tidak ciptakan untuk jadi milik kita, kita tidak akan mengenali erti bersyukur" kata ustaz.
Alhamdulillah. Banyak pengajarannya daripada kekurangan saya ni.
Kerana saya tidak handsome, saya tidak jadi mangsa gangguan wanita-wanita yang rosak akhlaknya.
Kerana saya tidak handsome, saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman wanita.
Kerana saya tidak handsome, saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya.
Kerana saya tidak handsome, saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada lelaki-lelaki lain.
Paling penting, kerana saya tak handsome, saya sentiasa mencuba untuk menjadi handsome pada pandanganNya. Cantik pada pandangan manusia bukanlah apa-apa.